Make your own free website on Tripod.com

Interview: Tok Guru Nik Aziz & Star

 

Interview with Nik Aziz Full transcript of The Star journalist Nick Leong's interview with Kelantan Mentri Besar and PAS spiritual adviser Datuk Nik Aziz Nik Mat. This exclusive interview was conducted in Bahasa Malaysia

Nick Leong : Tok Guru pandai berbahasa Inggeris?

Nik Aziz: Saya lompat-lompat sahaja, broken English. Dulu, sewaktu saya di Kaherah, saya boleh baca Egyptian Gazzette tapi sekarang ini, tak boleh, rugi betullah.

Q: Saya diberitahu Tok Guru fasih dalam berjenis-jenis bahasa.

Nik Aziz: Saya fasih Bahasa Arab, Bahasa Urdu. Dulu Inggeris pun tahu, boleh cakap, tapi tak ada praktis, hilang. Bahasa Parsi sikit-sikit.

Q: Boleh beritahu sedikit latar belakang Tuan Guru?

Nik Aziz: Rumah saya sekarang adalah tanah tumpah darah saya, Kampung Pulau Melaka, Kota Baru.

Keluarga saya adalah keluarga guru agama dan juga puak tani, suka menanam pokok-pokok, buat kebun sendiri dan orang tua, bapa saya ini yang beri semangat, jangan bergantung rezeki pada orang lain.

Orang tua saya sendiri tanam kebun getah, ada kebun rambutan, kebun durian. Dia cukup marah kalau hanya bergantung pada sedekah. Sedekah tahutak? Derma. Dia cukup marah.

Dia tidak minat dengan berniaga. Dia minat dengan berkebun. Sampai sekarang pun, saya dekat dengan tani, petang-petang saya tanam pokok dulu.

Sekarang ini, pokok durian saya tanam, pokok kelapa saya tanam, pokok pisang saya tanam, semua boleh berbuah semua boleh makan. Tapi sekarang tidah sihat, tak boleh cangkul. Sekarang tembak tupai dan tebas rumput-rumput untuk berpeluh sahaja. Tebas rumput dan pokok yang ganggu durian.

Q: Bagaimana dengan keluarga Tuan Guru?

Nik Aziz: Adik-beradik saya 17 atau 18. Orang tua saya kahwin empat, jadi adik-beradik saya ramai.

Semasa remaja habiskan masa saya untuk belajar. Orang tua saya ini, disamping dia pergi berkebun, dia bawa saya pergi sama, pagi-pagi belajar buku dulu, belajar kitab dulu. Malam dia kejut saya sembahyang subur, baca Quran, terjemah Quran. Kemana pergi pun dia bawa saya bukanuntuk buat kerja tapi untuk mengaji dengan dia.

Kerja sikit-sikit tapi belajar banyak, dia suruh saya hafal syiar-syiar dari Bahasa Arab bagi perkukuhkan Bahasa Arab dan saya ini sekarang sedang menikmati kesan yang ditinggalkan oleh orang tua saya iaitu dalam kepala saya banyak ingat ayat-ayat Quran yang menyebabkan dalam ucapan-ucapan saya selalu selit dengan pantun-pantun Bahasa Arab, ayat-ayat Quran dan hadith-hadith.

Q: Tuan Guru rasa tunjuk-ajar sedemikian tidak lagi dilakukan oleh ibu-bapa?

Nik Aziz: Betul. Ibu-bapa dulu mementingkan akhlak anak-anak. Cukup jaga akhlak anak-anak. Ibu-bapa sekarang umumnya turut arus.

Kalau kerajaan suruh belajar, belajar. Kalau kerajaan suruh tinggi akademik, tinggi akademik. Akhlak hampir tidak dipedulikan langsung. Ini sungguh mendukacitakan.

Hasilnya, sekarang ini kita dapat lihat, anak-anak, belia-belia yang 20 tahun dahulu tidak dipedulikan akhlak dalam sukatan pelajaran dan 20 tahun orang Melayu sudah mengenepikan tulisan Jawi, sekarang kita sudah boleh tengok, anak-anak sudah tidak boleh baca kitab agama, tidak boleh baca Quran.

Dan sekarang ini sudah menjadi bebanan keatas kerajaan membelanjakan wang begitu banyak untuk jaga belia-belia yang sudah (ketagih) dadah dan sebagainya kerana agama mengajarkita bahawa semua gerak geri kita di muka dunia ini, kesannya dapat dilihat pada hari akhirat nanti, the last day. Tekanan dari pelajaran ini dulu kuat. Sekarang tekanan itu sudah tidak ada.

Q: Apakah yang mendorong Tok Guru untuk berkecimpung dalam politik?

Nik Aziz: Puncanya begini. Bila saya balik daripada luar negeri pada tahun 1962, saya menjadi guru.

Tahun 1962 ini, keganasan Parti Perikatan terhadap ahli ulamak begitu menduk acitakan, selalu tangkap ulamak, tangkap tok guru kampung, tangkap tok guru pondok.

Kerja ini bercanggah sekali-kali dengan Islam. Ia tidak pernah berunding dengan orang ini, tidak pernah ajak muzakarah. Tangkap dan sumbat, ISA terus.

Banyak ahli ulamak Kelantan kena ISA di Batu Gajah. Saya perhati ini perbuatan tak betul. Saya tak kata apa, cuma ucapan-ucapan saya pada tiap-tiap malam, cara Islam.

Masyarakat bila dia dengar, anggap saya ini orang PAS kerana ucapan saya, kata mereka, mirip dengan PAS. Saya tidak menjadi orang PAS tapi penonton dengardan kata "Dia ni orang PAS." Bila berlaku kematian seorang wakil rakyat, wakil parlimen Kelantan Hilir, sekarang ini ditukar menjadi Pengkalan Chepa, namanya Haji Ahmad Prai.

Haji Ahmad ini orang Seberang Prai. Dia menjadi wakil rakyat parlimen Kelantan Hilir. Bila mati hamba Allah ini, tahu-tahu saya dipilih menjadi calun.

Saya tengah mengajar di Maahad Muhammadi datang wakil rakyat Panchor, Pak Nik Lah Arshad, dia kata "Ustaz, Datuk Asri minta ustaz pergi kerumah dia sekarang."

Saya kata "Pasal apa?" "Entahlah" kata dia, "Orang ramai tengah tunggu ustaz."

Saya pun berhenti daripada mengajar , terus pergi kerumah Datuk Asri, tahu-tahu, ahli jawatankuasa agung PAS datang mesyuarat sini, memilih calun baru untuk mengganti Allahyarham Haji Ahmad Prai.

Jadi Datuk Asri kata, "Ustaz, kami buat keputusan supaya ustaz menjadi calun." Terus dia bagi kepada saya wang RM500 bayar gaji sebulan.

Saya terus pergi ke Majlis Agama, kerana ketika itu Maahad Muhammadi dibawah Majlis Agama, jumpa Tengku Seri Utama sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Kelantan beritahu saya terpaksa berhenti kerana saya telah diminta oleh parti PAS untuk menjadi calun. "Ini duit RM500."

Bila saya beri, terlebih tiga ringgit. Saya ambil duit RM3 dan beri balik pada Datuk Asri. Saya kata "Ini duit lebih." Dia pun terima.

Mulai daripada situlah, saya menjadi orang PAS. Jadi ahli PAS tiga hari sebelum daripada menjadi calun, tahun 1967. Kalau tak silap saya bulan sepuluh (Oktober). Mulai dari situlah saya menjadi orang PAS dan berkempen menjadi calun dan saya menang.

Mulai dari situlah sampai hari ini saya tak berhenti-henti jadi wakil rakyat, apa boleh buat, nasib saya. Itu cerita saya, bukan saya masuk PAS tapi dimasukkan saya dalam PAS dan saya setuju.

Q: Sebab?

Nik Aziz: Saya setuju sebab PAS memperjuangkan Islam. Islam ini menjadi agama yang dibawa oleh nabi-nabi. Sejak daripada Nabi Muhammad naik ke Nabi Isa, naik ke Nabi Musa terus. Semua nabi-nabi bawa Islam.

Kita sebagai orang Islam, Melayu baik Cina baik India baik mana-manapun, mesti jaga Islam. Melayu tak payah dijaga kerana Melayu ini, jaga pun Melayu, tak jaga pun Melayu.

Bangsa Melayu serupa juga bangsa Cina, orang jaga bangsa ini tak betul. Kita jaga benda yang boleh jadi hilang, barulah kita perlu jaga.

Bangsa Melayu, dia tidak akan hilang. Bangsa Cina pun dia tidak akan hilang. Bangsa eskimo, bangsa asli pun dia tidak akan hilang. Perlu apa kita jaga?

Yang jaga ini ialah benda yang boleh jadi hilang. Islam ini boleh jadi hilang. (agama) Kristian boleh jadi hilang, (agama) Yahudi boleh jadi hilang. Hak ini yang kita kena jaga.

Bila jaga Islam, Melayu juga terjaga sama, Cina juga terjaga sama, India juga terjaga sama kerana Islam mengajar bahawa Melayu, Cina, India, seluruh manusia dunia ini hanya daripada seorang bapa. Bapa orang Melayu Adam, bapa orang Cina juga Adam, bapa orang Inggeris juga Adam. Jadi ia (Islam) satu ajaran yang cukup baik, ajaran yang penuh dengan perpaduan.

Bila bapa kita satu, ibu kita pun satu, ertinya kita ini adik-beradik. Cumanya dua pupu, seribu pupu, sepuluh ribu pupu tapi darah manusia semuanya satu dari Adam waalaisalam.

Satu ajaran yang cukup penuh dengan keamanan, dan kesaudaraan. Melayu walaubagaimana miskinpun Melayu, bagaimana kuruspun Melayu. Cina juga, kurus pun Cina, gemuk pun Cina, kecil pun Cina, tua pun Cina, tak perlu dijaga. Bangsa tak perlu dijaga.

Q: Apakah pengaruh politik Tok Guru?

Nik Aziz: Ilham politik ini pertama dari ajaran, didikan, kedua daripada Quran, yang ketiga daripada guru-guru yang saya terima di India, terima di Pakistan, terima di Mesir. Guru-guru dan bacaan-bacaan serta alam sekitar yang berlaku, semuanya memberi ilham pada saya untuk memperjuangkan Islam.

Q: Apakah peristiwa yang meninggalkan kesan paling dalam pada Tok Guru?

Nik Aziz: Sebelum saya dilantik menjadi wakil rakyat, saya juga sebagai wakil rakyat kerana saya selalu berceramah.

Orang tua saya, dia suruh saya, tiap-tiap hari Jumaat, dia tidak beri saya sembahyang di satu tempat. Dia suruh saya pergi merata-rata.

Saya guna motosikal Honda 70cc, semasa saya jadi guru, saya guna inilah kemana-manapun.

Oleh kerana saya menjadi guru, ramai murid-murid saya bertaburan diseluruh Kelantan. Kemana saya pergi, umumnya ada anak murid. Anak murid itu beritahu bapanya, "Ini guru kita pak" atau "Ini guru kita mak."

Jadi akhir sekali tiap-tiap hari Jumaat, saya pergi sembahyang Jumaat ada orang kenal saya kerana kampung itu juga ada satu dua anak murid, kampung ini juga ada satu dua murid. Ini menyebabkan saya semakin popular.

Saya tak cadang langsung jadi wakil rakyat, tapi sebagai orang Islam, menjadi kewajipannya sebar ilmu. Dimana saya pergi, imam masjid minta saya berkhutbah. Bila orang tahu saya belajar di India, Mesir dan Pakistan, dia suka dengar ucapan saya, sampai sekarang pun alhamdulilah. Mungkin kerana sambutan ini, ilham saya sebagai pemimpin semakin mendalam.

Lebih-lebih lagi, Parti Perikatan zaman dulu nampak sangat kesilapannya.

Kesilapannya pertama, guna kekerasan. Selalu guna polis ugut orang kampung, sedangkan polis ini anggota kerajaan. Perikatan ini parti. Bagaimana mereka mempergunakan alat kerajaan untuk menegakkan parti. Ini saya belajar di universiti. Ini salah.

Masa pilihanraya juga mereka mempergunakan jentera kerajaan, kereta-kereta kerajaan, radio, TV. Ini harta kerajaan, bukan harta parti mereka guna sedangkan apa yang kita belajar di universiti lain. Sekarang ini, semakin ramai pelajar keluar dari universiti tiap-tiap tahun, beribu-ribu. Makin orang lagi orang marah pada Umno yang mempergunakan harta kerajaan.

Saya tertarik dengan ucapan Datuk Shahrir (Samad), ketua Umno Johor Bahru, dalam sebulan lepas. Dia marah kepada Umno kerana Umno sudah tidak tahu beza antara kerajaan dengan parti. Dia mempergunakan harta kerajaan untuk parti.

Sebarang masaalah dalam Umno, dia kata, gunakan kekerasan, gunakan undang-undang. Sedangkan kebijaksaan parti perlu dipergunakan, bukan dengan undang-undang. Dia semakin parah sekarang penyakit dalam Umno.

Bila kita terang benda itu pada masyarakat, masyarakat terima. Sebab itu masyarakat makin menyingkirkan Umno kerana Umno membawa jalan yang salah, dari segi demokrasi pun tak betul, dari segi Islam pun tak betul. Sebab itu, NGO semakin ramai pada alternatif.

Sekarang ini di Taiwan, kerajaan yang memerintah 54 tahun tumbang dan sebelum itu Suharto juga tumbang, itu menambahkan semangat masyarakat disini dan Umno tidak boleh sekat benda ini kerana tv, internet semua sekali sebut.

Q: Ada yang berkata Tok Guru mempunyai pandangan serong terhadap wanita.

Nik Aziz: Perkataan serong ini diguna oleh Umno pada saya bagi menyingkirkan saya dari masyarakat.

Macamana saya nak memandang serong kerana ibu saya ini wanita, isteri saya pun wanita, anak-anak saya pun ramai yang wanita, dan Nabi Muhammad pesan kepada orang ramai supaya belajar sebahagian daripada agama daripada isterinya sendiri.

Oleh yang demikian, tak timbul masaalah pandang serong pada wanita. Apa yang ada ialah saya nak baiki, saya nak baiki kerosakan masyarakat memperalatkan wanita untuk tujuan seks yang semakin berkembang sekarang dan untuk tujuan melariskan kommoditi mereka dalam iklan-iklan.

Ini saya kata tak betul, mempergunakan wanita, gambar-gambar wanita dalam iklan kommoditi perniagaan, ini tak betul. Ini memperlekehkan wanita, meletakkan wanita sebagai satu barangan untuk perniagaan. Banyak lagi cara lain untuk tarik pelanggan membeli baranga kita. Ini semua propaganda Umno.

Umno tak ada modal selain daripada berbohong. Berbohong ini, kalau ada tekniknya, memang orang percaya tetapi tidak semua masa, tidak semua tempat, tidak semua orang, not everyone, not every place, not every time.

Q: Kenapakah Tok Guru selalu dibayangi kontroversi? Contohnya isu Raja-raja dan komen Tok Guru mengenai orang Cina.

Nik Aziz: Cakapan saya diakui benar. Kalau orang Cina terima Islam, maka dengan sendiri orang Cina tidak akan buat benda benda seperti arak, sebagai tauke arak. Orang Cina yang berugama Buddha, berugama Kristian, semua tahu. (Ugama) Buddha tak mahu bagi orang mabuk, Kristian pun tak mahu bagi orang mabuk, ugama manapun tak mahu bagi orang mabuk. Jadi percakapan saya itu betulkah salah?

Kalau cakap saya salah, apa boleh buat, tarik balik, tak apa. Tapi kalau cakap saya betul, nak marah juga, itu tak betul.

Yang keduanya, boleh jadi orang Cina tersentuh hatinya kerana saya kata kalau orang Cina masuk Islam.

Boleh jadi tersentuh kerana Islam ini di momok-momokkan, diperlekehkan oleh golongan orientalis, diperlekehkan pula oleh orang Umno. Umno selalu sebut, "Islam ni melampau, Islam ni extremis."

Maka boleh jadi sebahagian orang Cina ini terpengaruh dengan cakap-cakap Islam ini melampau. Jadi bila saya kata, "Kalau orang Cina masuk Islam," (orang Cina berfikir)"Apa itu Tok Guru suruh saya jadi orang extremekah?" Boleh jadi begitu agaknya.

Sebab itu ada orang Cina rasa tak sedap dengan cakap saya tetapi sekali-sekala saya kena sebut benda baru. Saya sebagai pemimpin mesti ada idea. Takkan saya nak sebut benda yang sama puluh-puluh tahun. Mesti ada satu, lepas satu, satu, lepas satu. Itu kewajipan saya sebagai pemimpin.

Soalnya betul atau tidak percakapan saya bahawa kalau orang Cina terima Islam, banyak benda benda yang macam mabuk, macam arak, orang Cina bila masuk Islam, mesti tidak minum arak.

Dalam Kristianpun, orang Kristian tidak minum arak, kalau orang Kristian benar-benar, bukan? Begitu juga masaalah disko, perempuan. Kebanyakan kedai-kedai disko, tari-menari, nightclub dipunyai oleh orang Cina. Kalau orang Cina itu juga, tauke Cina, masuk Islam, adakah dia nak terus dengan disko atau pob (pub). Masaalahnya, benda yang saya cakap itu salahkah betul.

Sampai sekarangpun saya tak nampak percakapan saya salah, cuma boleh jadi pendedahan, cara saya dedah itu boleh jadi kasar sikit. Kalau hak itu, saya minta maaflah. Pendedahan kasar itu apa boleh buat. Sekali-sekala takkanlah saya tak mahu dedah benda-benda yang baru-baru. Barulah ucapan saya itu menambahkan ilmu pengetahuan kepada pendengar-pendengar.

Q: Ada yang berpendapat pandangan simplistic Tok Guru tidak realistic kerana masaalahnya rumit. Memasuki Islam sahaja tidak akan dapat menghapuskan segala dosa-dosa didunia. Terdapat juga orang yang berugama Islam yang melakukan dosa-dosa. Kalau bukan dengan arak atau berjudi, dengan melakukan dosa-dosa lain.

Nik Aziz: Baik, soalnya adakah ucapan saya 100% simplistic begini. Jarang-jarang sekali saya sebut. Tidak tiap-tiap kali saya guna syurga dan neraka.

Saya, kalau tuan check balik ucapan saya, hampir 80% saya tidak guna sistem itu tetapi sekali-sekala saya kena sebut bagi membolehkan masyarakat, khasnya masyarakat Melayu didunia ini ingat akan akhirat.

Misalnya begini, saya kata, "Jangan berniaga dadah, jangan hisap dadah," nanti kamu kena gantung sampai mati. Adakah salah ucapan saya begitu? Tak salah.

Polis pun sebut, mahkamah pun sebut, wartawan pun sebut. Jadi kalau saya guna simplistic mengenai dengan dadah orang tak marah pada saya tapi kenapa kalau saya guna simplistic dengan akhirat, dengan syurga, orang marah kerana apa? Ini kerana kita tipis semangat beragama.

Kristian juga tipis, orang Islam juga tipis, orang Buddha juga tipis. Adakah saya akan biarkan tipis semangat berugama ini berterusan? Ataupun saya mesti tebalkan? Orang Kristian juga mengaku neraka ada, orang Buddha juga mengaku neraka ada. Jadi bagaimana hendak mengejutkan masyarakat neraka itu ada kalau saya tidak sekali-sekala mengaku neraka itu ada.

Saya tidak sebut tiap-tiap hari, tiap-tiap ucapan saya tidak sebut. Sekali-sekala saya kena sebut tali gantung atas dunia ini, saya sebut rotan, "Kamu buat begini, kamu kena rotan 40 kali." Adakah saya salah dari segi undang-undang?

Semua hakim setuju, semua polis setuju. Jadi kenapa ini setuju, itu tak setuju? Ini menunjukkan mereka marah kepada saya (kerana) menebalkan semangat agama. Agama Buddha pun setuju, Kristian pun setuju.

Oleh kerana penceramah-penceramah politik banyak menggunakan isu semata-mata, tidak sebut masaalah akhirat, saya mesti ada panduan saya sendiri. Tak boleh saya turut orang lain. Kesimpulannya, saya mahu tebalkan semangat agama. Semua agama tahu neraka dan syurga ada, tapi orang tak mahu cakap.

Pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur tak sebut sebut dan neraka. Adakah saya juga tak akan sebut begitu sedangkan benda itu ada? Soalan ini bagus. Saya berpuas hati jawab.

Q: Masaalah-masaalah politik yang dihadapi oleh negara kita sekarang. Adakah ia semakin rumit atau sama sahaja dengan 50 tahun lalu?

Nik Aziz: Sebagai seorang (dari) parti pembangkang, yang mahu sebarkan Islam melalui parti politik, bagi saya sekarang semakin mudah jalan ke politik kerana usaha menyebarkan Islam melalui ilmu, bukan melalui kekerasan, bukan melalui ugutan, bukan melalui ilmiah.

Dan saya nampak, tiap kali kemana saya pergi pun pendengarnya ramai berbanding dengan penceramah Umno. Orangnya tak ramai dan orang kampung nak jual air batu pun tak ada. Tak ada satu gerai yang dibuka ditepi jalan untuk jual makanan ringan atau air, tempat ceramah Umno tak ada.

Tapi orang PAS, petang-petang lagi orang datang ramai-ramai untuk menjual barang kerana orang tahu ramai. Bukannya kerana kena kerah, dia datang sendiri. Orang tua, orang muda bawa anak. Soalnya, kenapa orang suka dengar ceramah PAS, khasnya saya sendiri?

Semakin suratakhbar pro-Umno ini tuduh saya, semakin orang benci dan semakin banyak kerusi-kerusi Umno kalah, kerana orang tahu ini membohong. Saya kalau orang Umno marah, tulis dalam suratkhabar Umno tulis berat-berat, saya kata "Bagus, ini menimbulkan kemarahan orang." Sebab itu saya tak jawab, saya tak marah.

Baru-baru ini, Berita Minggu, seorang bernama Said, tulis teruk-teruk pada saya. Saya senyap, saya kata "Ini menambahkan populariti aku. Orang akan benci dia, orang akan benci Umno automatik." Macam dalam demonstrasi di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tak pasal-pasal suratkhabar besar-besarkan.

Akhir sekali, publisiti Keadilan (Parti Keadilan Nasional) bertambah. Seminggu sebelum (demonstrasi) dia sudah bagi dah, warning sana warning sini. Orang tak tahu pun sudah tahu. Ini publisiti free pada Keadilan. Padahal kalau dia buat senyap-senyap begitu, kalau orang buat demonstrasi, dia pergi suruh balik, sselesai masaalah. Tapi dua minggu sebelum, dia sudah besar-besarkan.

Q: Mengapa ramai orang beranggapan PAS adalah seperti Taliban di Afghanistan, negara mundur, tiada pembangunan, tiada hak untuk wanita. Apakah komen Tok Guru tentang persepsi ini?

Nik Aziz: Kita tahu mengenai Taliban melalui suratkhabar. Tak ada orang Malaysia pergi sendiri ke Afghanistan.

Usahkan kita nak dengar Taliban melalui suratkhabar, hak mengenai PAS diKelantan pun orang tak boleh percaya. Hak yang berlaku diKelantan pun tak serupa.

Hak lepas pilihanraya baru-baru ini, orang Cina dari luar negeri yang datang ke Kelantan, dia kata "Hak yang kami lihat tak serupa dari hak yang kita baca." Jadi apa yang berlaku beribu-ribu kilometerkan?

Di Kelantan yang dua jengkal pun dia boleh berbohong. Dia Kata kami tolak pembangunan, kami buat huru-hara, barang-barang disini mahal, banyak yang kena potong tangan. Itu bohong.

Sewaktu komunis berperang dengan Amerika, kita dengar semua masjid-masjid di negeri Cina diroboh, ahli ulama semua kena bunuh, Al-Quran semua kena bakar. Ini yang kita baca dari suratkhabar Amerika, propaganda.

Tapi yang saya pergi sendiri, negeri Cina, ke Beijing, ke Chengkiang, tiga tempat saya pergi, masjid-masjid masih ada, tok imam masih ada. Ini propaganda Amerika memburukkan komunis kerana dia berperang dengan komunis. Ini kenyataan.

Jadi suratkhabar kini sudah tidak bebas. Suratkhabar sekarang sudah begitu dikongkong, rakyat terpaksa baca satu jenis suratkhabar sahaja. Bagi kami orang PAS nak jawab balik melalui suratkhabar, tak boleh. Kalau dua kali seminggu, sekarang dua kali sebulan.

Banyak isu-isu yang perlu diperjelaskan dah jadi basi. Jadi kita hidang benda basi. Umno nak sangat PAS hidang benda basi, sampai orang tak boleh terima. Cuba beri peluang untuk suratkhabar ini bebas.

Orang parti pembangkang ini juga ada suratkhabar, orang parti kerajaan juga ada suratkhabar. Ketika itu rakyat nak terpengaruh lagikah PAS itu Taliban atau rakyat berpandangan second opinion.

Sekarang ini rakyat terima PAS macam Taliban kerana kami nak jawab tak boleh. Bukan kerana kami macam Taliban tapi kerana apa yang disebut mengenai PAS, kami tak boleh jawab. Nak ceramah dua tiga kali bolehlah cermah tapi kami pun sakit-sakit demam juga.

Kesimpulannya, PAS tidak macam Taliban dan PAS tidak macam Saudi, PAS juga tidak macam Iran. PAS ialah seperti yang tuan-tuan lihat sekarang. Kami ada pegawai wanita, pejabat saya pun pegawai wanita. Kami lantik wanita menjadi senator, lantik wanita menjadi wakil perbandaran, lantik wanita menjadi guru-guru, jadi professor. Adakah ini macam Taliban?

Kami tidak minta wanita pakai tudung muka, apa yang kita minta ialah tutup aurat. Dia nak pakai macam India pun tak apa, nak pakai macam Melayu pun tak apa, nak pakai macam Pakistan pun tak apa, asalkan aurat ditutup, sudah.

Cukup lemah-lembut, dan cukup simple dan sederhana. Beri peluang kepada kami juga untuk kebebasan. Kami menuntut hak kebebasan untuk bersuara yang Umno sekarang tutup kami dan kalau perlu kami akan angkat kes ini ke PBB. Kami boleh sebut bahawa Barisan Nasional ialah sebuah kerajaan yang begitu kuku besi, menyekat kebebasan rakyat bersuara.

Q: Bolehkah dasar-dasar PAS dipraktikkan diseluruh negara?

Nik Aziz: Dulu dalam tahun 1951, waktu PAS di wujud dulu, PAS di perlekeh. Tapi saudara tengok sekarang ini banding dengan tahun 1951 dulu, perbezaan terlalu banyak.

Kalau pertama, ketika itu orang tak faham Islam selain daripada sembahyang-puasa, itulah suasana yang dibentuk oleh penjajah bagi mengenepikan Islam daripada masyarakat.

Penjajah Inggeris tafsirkan Islam ini sebagai religion, tidak sebagai addin, way of life. Religion pun orang Melayu panggil ugama, addin pun orang panggil ugama. Tapi tafsiran lain-lain. Sekarang PAS mahu mendedahkan Islam kepada masyarakat dalam bentuk addin, tidak dalam bentuk religion.

Dan ini memang dimarahi oleh Umno kerana Umno ni kepala dia bahawa Islam ini religion, bukan addin, sedangkan Nabi Muhammad sebagai orang pertama mentafsirkan Islam, Dia mentafsir Islam ini dalam bentuk addin, dalam ibadat juga Islam, dalam aqidah juga Islam, dalam ekonomi juga ada Islam, dalam rumahtangga ada Islam, dalam budaya ada Islam, dalam sosial ada Islam, dalam sukan juga ada Islam, semua sekali terlibat dengan Islam.

Itu yang kami hendak, itu yang kami tengah dedah dan itu yang menimbulkan kemarahan Umno, yang menjadi penganut setia bagi penjajah Eropah, penganut setia bagi religion bukan addin.

Q: Apakah wawasan PAS untuk Kelantan dan Malaysia khasnya?

Nik Aziz: Wawasanini terletak diatas keaadaan. Saya tidak boleh sebut benda hak akan datang sekarang ini. Yang saudara lihat sekarang mula dari saya pegang dulu berbanding dengan sekarang ini, baru 10 tahun telah banyak benda yang kami buat, sedikit demi sedikit.

Yang pentingnya, saya berusaha bersungguh-sungguh nak memperkenalkan Islam kepada masyarakat, baik Melayu, baik Cina, baik India, "Ini dia Islam, bukan sebagaimana yang disebut oleh Umno."

Islam yang saya bawa sekarang ini Islam sebagai addin yang menyebabkan NGO pun terima PAS, DAP pun terima PAS, PRM pun boleh terima PAS, Keadilan juga terima PAS, Abim juga sekarang jadi calun PAS, JIM pun jadi calun PAS. Ini sekarang baru ujud tapi 50 tahun dulu, mana kita boleh fikir DAP boleh terima sekali dengan PAS.

Sekarang DAP tengok dengan dia mata sendiri, dengar dengan telinga dia sendiri bahawa Islam yang dibawa sekarang tak serupa dengan fahaman masyarakat. Ini yang memarahkan Umno.

Umno sendiri tengok orang Melayu 70% pergi kepada alternatif, Cina juga mari kepada alternatif, India juga, Siam juga mari kepada alternatif. Ini benda yang menimbulkan kemarahan bukan kerana pepecahan, kerana orang tak sokong Umno.

Saya tertarik dengan tulisan Azizi Abdullah dalam Harakah. Dia marah pada (Datuk Dr) Rais Yatim, sibuk nak buat undang-undang baru asingkan ugama dengan politik sedangkan tak ada lebih lagi pada orang Islam suka pada Umno, dia suka pada PAS. Kenapa nak marah?

Kerana rakyat sendiri dulu pun tak suka pada Umno, masuk Barisan Nasional. Dia (Rais) bakar jambatan, kemudian juga tukar, masuk Umno balik. Jadi kalau Rais Yatim boleh tukar parti begitu-begini, kenapa dia marah orang lain tukar dari Umno kepada alternatif.

Saya harap orang Cina tidak dikongkong oleh Barisan Nasiona. Orang Cina, saya selalu sebut, lebih cerdik dari orang Melayu. Kesihatan orang Cina lebih tinggi dari orang Melayu, kekayaan orang Cina lebih dari orang Melayu. Orang yang begini kalau boleh bimbing Islam, saya kata, "Lebih Baik."

Biar orang Cina memimpin Islam diMalaysia ini, biar orang Melayu turut. Bagi saya tak apa. Bagi saya orang Cina, orang Melayu, adik-beradik semua, anak (Nabi) Adam semua. Tak ada dalam kepala saya Cina, Melayu, tak ada. Saya jalan tengok Islam, masyarakat Cina, Melayu . . . Cina yang mempunyai pengalaman lebih banyak dari orang Melayu, kesihatan yang lebih baik, kekayaan dia lebih tinggi, pengalaman dia lebih luas, orang yang macam inilah memimpin Islam.

Q: Apakah pendapat Tok Guru bahawa orang bukan Islam menjadi ahli PAS?

Nik Aziz: Benda ini telah timbul dalam zaman Allahyarham Ustaz Zulkifli Mohamed. Semasa dia masih hidup, sudah timbul persoalan bolehkah tidak orang bukan Islam menjadi anggota bersekutu. Tapi kerana masa itu terlalu kehadapan soalan begini, maka soalan itu tidak dibahas, bimbang Umno akan serang, Umno akan kata macam-macam perkara.

Tapi sekarang ini, kalau timbul balik juga, boleh jadi boleh dibahas. Sekarang ini, kalau orang bukan Islam tidak masuk PAS pun dia sudah ada parti alternatif. Tak timbul masaalah dah, boleh atau tidak orang bukan Islam masuk PAS.

Peringkat sekarang ini, dengan (Barisan) Alternatif, dia beri sokongan pada Keadilan, DAP atau PRM. Serupa saja, sama-sama kita halau fahaman karut-marut yang dibawa oleh Barisan Nasional.

Q: Apakah pendapat Tok Guru tentang pemimpin Umno sekarang?

Nik Aziz: Saya sebut bahawa Dr Mahathir orang yang cerdik, orang yang pintar. Tapi dukacitanya, dia gunakan kecerdikan dia untuk memperjuangkan sekular.

Saya nak ulang jawapan saya yang lepas-lepas. Kalau dia ni, ubah dasar parti dia, daripada sekular kepada Quran (dan) Hadith, dan ubah dasar negara daripada sekular kepada Islam, saya dah kata dalam stadium (dalam satu ceramah) saya boleh terima dia sebagai Perdana Menteri, saya boleh sokong dia terus-menerus dan syapun tak payah jadi Mentri Besar Kelantan.

Kalau dia kata Quran (dan) Hadith ini tak boleh diterima oleh orang Cina, kita bincang.

Kita panggil orang Cina yang tak setuju Quran ini, tak kena dimana. Itu cara Islam dan sekarang ini tak payah bincang dah, orang Cina sendiri pun boleh terima PAS memalui (Barisan) Alternatif.

Orang Cina di bandar Kota Baru sekarang pun undi Haji Anuar Tan (Abdullah) bukan kerana (Barisan) Alternatif tapi kerana PAS. Dia tengok sendiri dengan mata dia, 10 tahun saya memerintah Kelantan, saya tidak pernah bezakan Melayu dengan Cina.

Semua duit-duit kerajaan saya bagi, kepada sekolah-sekolah Cina milik tanah kepada Sekolah Chung Hwakan? Saya beri milik tanah dalam tanah rizab Melayu ditukar kepada sekolah Cina.

Saya tengok rakyat Kelantan ni, Cina baik, Melayu baik, orang yang berpelajaran. Bila orang berpelajaran, dia tidak mengarut. Orang lain nak tipu dia pun susah, dia pun tak kacau orang.

Q: Apakah pada pandangan Tok Guru, akan keadaan masyarakat dan negara pada tahun 2020?

Nik Aziz: Saya tak mahu jadi Pak Nujum tetapi saya harap rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah yang dibuat oleh Barisan Nasional melalui menyekat kebebasan bersuara, suratkhabar baik, radio baik, TV baik, mereka pajak sebagai hak bapa mereka sendiri.

Kalau sistem ini jalan terus, akan timbul bermacam-macam masaalah. Saya bawa satu contoh. Dalam 30 tahun dahulu, berlaku pembunuhan ahli ulama di selatan Thailand. Haji Sulung kena bunuh.

Kelmarin saya pergi ke selatan Thai dan saya tengok rakyat Thai begitu sekali seronok hidup dengan kerajaan sekarang. Orang Islam sendiri seronok hidup kerana kerajaan Thai memberi kebebasan kepada rakyat Thai untuk memilih siapa-siapa dan speaker parlimen dia pun orang Islam, menteri luar pun Islam. Benda ini tak berlaku 30 atau 40 tahun lalu.

Orang sana pun sebut, kalau Haji Sulung kemuka dia punya cadangan untuk mencari keadilan sekarang ini, tetap kerajaan terima dan tidak bunuh. Tapi zaman itu, zaman diktator.

Kerajaan zaman itu diperintah oleh diktator, maka tak boleh cakap. Siapa cakap akan dibunuh. Jadi benda ini sama, nak berlaku di Malaysia. Semua pembangkang buat tak betul semua, sedangkan saya, peribadi saya sebagai mentri besar dan sebagai anggota jawatankuasa PAS pusat dan mursyidul aam, sewaktu krisis ekonomi negara, CNN memberi gembar-gembur kepada dunia supaya Dr Mahathir berhenti, kalau tidak hancur ekonomi.

Bila wartawan datang pada saya, saya beritahu, "Saya tak setuju. Kalau nak suruh Dr Mahathir berhenti, serah pada kami. Jangan kamu orang luar ganggu." Ini menunjukkan politik saya bukan politik hentam buta, politik saya ada panduan.

Saya parti pembangkang, nak suruh Dr Mahathir berhenti, beri pada saya, beri pada PAS. Orang lain jangan ganggu, Amerika jangan ganggu, CNN jangan ganggu, George Soros janggan ganggu. Dan Dr Mahathir semacam beri hormat pada saya walaupun tidak sebut nama saya, sebut, "Ada pembangkang yang menyokong saya."

Dalam masaalah raja-raja, bila dia ubah perlembagaan, mahu tarik balik immuniti raja-raja, saya sokong, sedangkan saya seorang mentri besar, dibawah seorang raja di Kelantan.

Tapi kerana benda dia buat itu betul, saya sokong tetapi dia memalukan raja, ini saya tak sokong. Boleh baca balik suratkhabar pada bulan September 1993. Banyak perkara-perkara yang memalukan raja, ini saya tak sokong tapi tarik immuniti daripada raja, saya sokong. Pada saya, manusia tiada yang kebal, kalau yang kebal yang ujud di muka dunia ini, tiada raja yang lain selain daripada "Raja Muhammad."

Kalau Nabi Muhammad juga tidak kebal, bagaimana Raja-Raja Melayu boleh kebal? Memang pahit tapi saya telan tapi memalukan raja-raja, saya tak sokong. Usahkan memalukan raja, memalukan orang kampung pun tak boleh. Inilah sebabnya orang Cina pun mula tertarik pada PAS.

Tokoh-tokoh Umno Kelantan sendiri, Haji Abdul Hamid yang menjadi ketua penerangan 40 tahun dalam Umno sekarang masuk PAS seumur hidup, bayar wang RM100. Jangan semua ucapan kami dipandang lekeh, itu tak betul. Itu bukan politik, itu gangster.

Saya masih ingat ucapan guru saya dalam kuliah undang-undang di Al-Azhar University. Dia kata "Mu kena faham, gangster dan kerajaan serupa sahaja. Gangster pun ada sistem dia, peraturan dia, ketua dia. Baki lagi, haram atau tidak, sah atau tidah sah. Gangster tidak sah, kerajaan sah.

Kalau kita selalu ketepikan nasihat orang, apakah jaminan kita ini boleh betul? Sedangkan kita bukan malaikat. Nabi pun, Allahtaalah ajar supaya minta nasihat sedangkan Dia ada Jibrail Allaisalam. Ini tak boleh kritik sikit, demonstrasi sikit pun tak boleh sedangkan demonstrasi ini hak kebebasan manusia. PBB pun boleh terima. Tahun lepas di Seattle, pun ada demonstrasi. Yang tak boleh pukul sini, bakar sana. Ini bukan demonstrasi, ini jahat.

Q: Tok Guru adakah teringat hendak bersara?

Nik Aziz: Saya tak ada rancangan untuk bersara dan saya tak ada rancangan untuk meneruskan kerja. Bersara pun tak ada rancangan, meneruskan kerja pun tak ada rancangan. Terletak atas keadaan. Selagi Umno terus kacau, saya akan teruskan kerja saya. Bila Umno insaf, sedar, perbetulkan kedudukan dia, maka saya fikir tak payahlah saya duduk disini.

---------------------------------------------------------------------------- ----

Copyright C 1995-2000. Star Publications (Malaysia) Bhd. (Co No. 10894-D) All rights reserved

 

Halaman Utama |Informasi Gayong  | Artikel | Aktiviti | Maklumat Ahli | Album