Kod Etika Silat Seni Gayong


Kandungan:


CITA-CITA DAN DASAR

Seni silat ialah satu seni yang terhasil daripada kepintaran bangsa Melayu. Penekanan pembelajaran silat seni dalam masyarakat Melayu adalah sejajar dengan seruan Allah S.W.T. dalam Surah Ar-Ra'd supaya umat Islam bersiap sedia menghadapi musuh dengan kadar kekuatan yang termampu. Ini merupakan cita-cita dan dasar utama Silat Seni Gayong yang meletakkan agama di tempat yang Maha Tinggi.

Silat Seni Gayong sebagai salah satu daripada seni silat Melayu tertua terlah terbukti mampu menjadi wadah untuk mempertahankan akidah dan maruah umat Islam.

Hakikat ini dinilai melalui coretan sejarah negara kita yang pada suatu ketika dahulu dijajah oleh kuasa asing. Pergerakan para pahlawan Silat Seni Gayong seperti allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tuk Zainal, Dato' Maharaja Lela dan ramai lagi pejuang kemerdekaan tanahair telah berjaya membataskan penguasaan pihak penjajah dalam politik dan sosio-budaya penduduk tempatan.

Pejuang kemerdekaan tanahair tersebut merupakan pemimpin agama yang lazimnya menjadi teras kepimpinan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu. Mereka dimuliakan dan disanjungi bukan semata-mata keilmuan tinggi dalam bidang keagamaan, bahkan semangat perjuangan dan sifat kependekaran yang dimiliki beserta sikap yang tegas dalam menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.

Kini Silat Seni Gayong ialah satu warisan bangsa yang diajar kepada waris generasi sebagai alat pendidikan dan pembentukan disiplin dalam rangka menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara. Ia mestilah dipelihara agar bangsa kita dapat menghargai warisan nenek moyang dan seterusnya menghayati makna sebenar sebuah kemerdekaan.

Namun begitu, cita-cita dan dasar asal pergerakan Silat Seni Gayong tidak harus luput ditelan perubahan. Ia mesti terus dan sentiasa dipupuk dalam jiwa anak-anak gayong agar segala apa yang diperjuangkan akan mendapat ganjaran dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

 

Back to Top

PANTANG LARANG

Tiada pantang larang dalam Silat Seni Gayong. Apa yang menjadi pegangan dalam Silat Seni Gayong ialah mentaati segala suruhan dan titah perintah Allah S.W.T. serta menghindar atau menjauhi segala laranganNya.

 

Back to Top

FALSAFAH

Falsafah Silat Seni Gayong ialah falsafah etika yang membicarakan kaedah pembentukan akhlak terpuji. Ia memupuk peningkatan nilai peribadi daripada segi kualiti, matlamat dan sentiasa bergerak dalam lingkungan pedoman yang diberikan. Falsafah ini juga wujud dalam setiap amalan adat istiadat, peristiwa sejarah, puisi, amanat dan pelajaran Silat Seni Gayong.

Kalimah Silat Seni Gayong itu sendiri tersirat tiga pengertian yang amat besar. Pengertian yang menjelaskan falsafah utama Silat Seni Gayong. Falsafah yang membezakan Silat Seni Gayong dengan seni silat yang lain. Di dalam Silat Seni Gayong, Silat merupakan segala teknik, kaedah dan langkah pencak yang digunakan untuk membela diri atau melakukan serangan balas. Ia hanya meliputi aspek lahiriah semata-mata. Seni dalam kontek Silat Seni Gayong pula ialah satu unsur dalaman yang menekankan konsep kerohanian dan pembersihan diri. Ia mendidik dan membentuk pertahanan dan ketahanan jiwa yang sentiasa perlu dibaja dengan makanan kerohanian dan dihiasi adab kesopanan serta akhlak yang terpuji. Manakala Gayong ialah suatu kalimah yang menggariskan sifat peribadi - sifat yang membina unsur silat dan unsur seni dalam jiwa dan jasad seorang murid Gayong.

Oleh itu, falsafah etika ini berkait rapat dengan adat istiadat, pelajaran dan pendidikan yang bertunjangkan ajaran Islam. Ajaran yang menjadi sumber inspirasi, motivasi dan pengawasan untuk membina diri dengan nilai-nilai luhur sebagaimana ia diterima oleh semua agama dan masyarakat yang waras.

Falsafah Silat Seni Gayong daripada satu sudut yang lebih global akan hanya dapat dikupas melalui skop kajian integrasi pemikiran yang luas meliputi aspek sejarah, adat istiadat, pelajaran dan perkembangan Silat Seni Gayong itu sendiri. Hanya mereka yang mendalami ilmu Silat Seni Gayong secara praktikal dan menghayati setiap unsur daripadanya akan dapat menghuraikan Falsafah Silat Seni Gayong dengan tepat dan lengkap.

 

Back to Top

PENDIDIKAN

Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.

Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T.

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:

Ga - mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat seti yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan al-marhum Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.

Alif - mewakili angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.

Ya - mewakili yakin. Bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.

Wau - mewakili waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.

Nga - mewakili ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaanNya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamirkan Silat Seni Gayong dan kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam saat-saat genting.

Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya.

Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.

 

Back to Top

NILAI-NILAI LUHUR

Nilai ini terbit daripada falsafah Silat Seni Gayong sendiri yang meliputi aspek mental (spiritual), bela diri dan kesenian. Antara contoh aspek-aspek berikut :

1. Aspek mental:

2. Aspek Bela Diri

3. Aspek Kesenian

 

Back to Top

AMANAT MAHAGURU

 Tiada yang paling penting dalam tuntutan ilmu ialah taat setia yang tidak berbelah bagi. Tamak ahmak itu adalah satu daripada membunuh diri sendiri ataupun satu kecelakaan kepada diri seseorang itu.

Jangan ditepuk susu di dulang,
Anak harimau tak dapat menyusu,
Janganlah pecah rahsia hulubalang,
Nanti harimau hilang kuku.
 
Jangan ditepuk darah di dulang,
Anak harimau mencari ibu,
Jangan pecah mentera hulubalang,
Nanti harimau hilang asu.
 
Jikalau ada dulang di tangan,
Jangan biar jatuh terhempas,
Jikalau ada senjata di tangan,
Jangan biar orang rampas.
 
Pecah Gayong di dalam dulang,
Dulang hanyut di lautan tujuh,
Pecah Gayong perpecahan sayang,
Di satu masa balik berpadu (teguh).

 

Back to Top 


IKRAR

<# Aa Uzubillahi Minasyaithonir Rajim, Bismillahir Rahmanir Rahim #>

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia untuk menjadi murid dan ahli Silat Seni Gayong

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada Allah. Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada Baginda Rasulullah.

Bahawasanya aku mengaku taat setia kepada ibu dan ayahku. Bahawasanya aku mengaku taat setia kepada guru-guruku. Bahawasanya aku mengaku taat setia kepada saudara segayong denganku.

Bahawasanya aku berikrar dan mengaku taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta KDYMM Sultan-sultan yang memerintah Tanah Melayu dan seluruh kerajaannya.

 

Ya Allah! Ya Tuhanku!, tunjukkanlah aku jalan yang benar dan jauhkanlah aku jalan yang salah.

Ya Allah! Ya Tuhanku!, murahkanlah rezekiku, kau panjangkanlah umurku dan kedua ibu bapaku, kau tetapkanlah imanku, kau lindungkanlah aku daripada malapetaka jin dan iblis dan juga manusia yang berniat khianat atas diriku dan negaraku.

Inilah ikrar taat setia diriku pada negaraku.

Amin!, Amin!, Amin!, Ya Rabbal Alamin.

 

Back to Top

Halaman Utama | Informasi Gayong | Aktiviti | Maklumat Ahli | Artikel | Album