PETUA MENGGUNAKAN INTERNET |
Pendahuluan
Dewasa ini ramai yang memilih internet sebagai sumber maklumat
terpenting selepas media dalam negara sudah tidak mampu memberikan
laporan yang adil dan saksama. Masyarakat semakin celik untuk melihat
teknologi ini sebagai alternatif lain untuk mendapatkan bahan dari
sumber asing. Sehinggakan suri rumah dan ibu bapa yang dahulunya hanya
membiarkan anak-anak mereka sahaja 'berjalan-jalan' di alam saiber telah
mula menukar arah, mereka sendiri sekarang dalam proses untuk memahirkan
diri dengan perisian 'browser' seperti Netscape dan Internet Explorer.
Tidak kurang juga yang semakin memahirkan diri dengan 'newsgroup' dan
juga 'mailing list'.
Biar apapun yang dilakukan, usaha kerajaan untuk menakut-nakutkan
pengguna internet semakin hari semakin bertambah. Berita mengenai
penangkapan, 'hackers' kononnya, semakin banyak di dada dada akhbar. Tak
kurang juga dengan siri 'penggeledahan cyber-cafe' yang semakin mendapat
perhatian masyarakat. Ini menjadikan masyarakat semakin takut untuk
menggunakan internet sebagai sumber alternatif mendapatkan maklumat
selain media dalaman. Mengapa ini terjadi? Kerana kurangnya pengetahuan
kita mengenai kebebasan bersuara dalam internet itu sendiri.
Internet merupakan jaringan komputer antarabangsa. Tiada sesiapa yang
memiliki hak mutlak ke atasnya. Samada kerajaan Malaysia, kerajaan
Taiwan, kerajaan Jepun, malahan kerajaan Amerika juga tidak mempunyai
hak yang mutlak ke atas internet. Kepenggunaan internet itu sendiri
bergantung kepada prasyarat yang telah difahami dan dipersetujui bila
kita melanggannya. Apa yang perlu diperjelaskan di sini ialah, kerajaan
tidak mempunyai hak untuk menyekat kebebasan bersuara di dalam internet.
Tetapi... bagaimana pula dengan kes-kes penangkapan berkaitan surat
layang melalui internet? Ini perlu kita fahamkan. Cerita-cerita yang
boleh menimbulkan keraguan dan sekaligus boleh mengancam ketenteraman
awam dan keselamatan negara adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.
Kes Chow-Kit jika diperhatikan adalah satu dakyah dan fitnah yang boleh
mengancam keselamatan negara kerana berikutan dari surat sebegitu, boleh
menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum. Atas alasan ini, maka pihak polis
terpaksa mengambil tindakan. Apakah polis mengambil tindakan secara
bersendirian? Tidak, mereka terpaksa meminta pertolongan MIMOS untuk
mengenalpasti siapa 'penciptanya'.
Jadi, kalau kita tidak terlibat dengan segala bentuk khabar angin
atau berita-berita yang boleh mengancam keselamatan negara, mengapa kita
perlu takut? Tiada satu aktapun dalam internet yang menyekat kebebasan
bersuara selama mana ia tidak menimbulkan ketegangan pihak lain. Oleh
itu, apakah dengan membaca artikel-artikel di internet dianggap sebagai
salah oleh undang-udang? Tidak! Salah bilamana anda bersama-sama
menyebarkan berita palsu yang boleh dianggap mengancam keselamatan
negara.
Jadi, mengapa kita perlu takut? Takut kerana salah. Bila kita salah?
Bila kita menyebarkan khabar angin yang berunsur fitnah dan boleh
mengancam keselamatan negara. Itu sahaja. Apakah memberi pendapat itu
salah? TIDAK! Pendapat bukanlah satu berita yang boleh diterima pakai
sebagai rujukan. Fahami konsep ini, dan berlegarlah diruang saiber tanpa
rasa takut....
Penggunaan No. IP
Saya banyak dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan mengenai
keselamatan diri dalam menyuarakan pendapat umum. Masih ramai lagi yang
'fobia internet' dalam menyuarakan pandangan masing-masing. Sayang
sekali, fobia ini mengengkang pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat
serta suara-suara bernas sekalian rakyat yang masih bingung lagi
mengenai Internet, dan kebebasan bersuara melaluinya. Masih ramai lagi
dihantui dengan kes 'Tangkapan Chow Kit' yang melibatkan beberapa
manusia yang lalai dalam menyuarakan rasa hati mereka.
Biar saya perjelaskan dengan ringkas, apa yang terjadi bila kita mula
melewati laman web dan juga menghantar suara rasa melalui email atau
lelaman web :
Menggunakan komputer dengan akaun TMnet atau JARING sendiri. Anda
akan diberikan nombor pengenalan (ip) secara rawak. Apa gunanya nombor
pengenalan ini? Ianya seperti alamat rumah (bukan alamat rumah yang
sebenar!). Seluruh dunia, mesin-mesin yang dihubungkan dengan internet
mendapat ip tersendiri dan unik. Tidak ada seorang manusia pun di dalam
dunia ini yang akan mendapat ip yang sama dengan anda dalam dalam talian
yang berasingan. Ip ini adalah rujukan kedudukan komputer kita. Ip ini
digunakan untuk mengelakkan dari kecelaruan (clash) antara satu komputer
dengan komputer yang lain.
Jika saya menggunakan TMnet, ip yang mungkin akan saya dapat secara
rawak ialah 202.188.52.1 (contoh tidak menggunakan ip betul). Seluruh
dunia mengetahui kedudukan mesin saya sekarang, tetapi, secara teknikal
sahaja. Saya akan menghantar email kepada 'smtp server' (pelayan email,
atau komputer besar yang menjaga kesemua email kita) untuk dirujuk
kepada pengguna yang berdaftar pada email itu. Email yang dihantar, akan
disimpan di dalam 'smtp server' dahulu. Bila pengguna menyemak email,
barulah email itu dihantar kepada si penerima. Di sinilah ip digunakan.
Saya (202.188.52.1) menghantar email kepada abc@tm.net.my. Email itu
akan disimpan oleh server TMnet (sebab email penerima dalam bentuk
abc@tm.net.my). Dari segi teknikalnya, saya mengarah email saya kepada
server email TMnet (yang juga mempunyai ip sendiri, contohnya
202.188.52.2). Jadi, email dari 202.188.52.1 dihantar kepada
202.188.52.2 di mana dalam 202.188.52.2 terdapat akaun abc@tm.net.my.
Server 202.188.52.2 akan menyimpan alamat saya (202.188.52.1) sebagai
rujukan penerima dari mana saya menghantar email itu. Bila penerima
ingin menyemak surat, maka 202.188.52.2 akan menghantar surat yang
disimpan tadi kepada penerima.
Apakah ip hanya digunakan dalam email sahaja? TIDAK! Ia digunakan
untuk kesemua sessi internet kita. Jika anda melawat laman web, ip anda
akan disimpan, jika anda berbual IRC, ip anda juga dipaparkan, jika anda
menggunakan HOTMAIL juga, ip anda akan dihantar kepada penerima. Jadi
bagaimana untuk mengelak dari ip kita dikesan?
Biar saya jelaskan sedikit di sini, IP TMnet dan Jaring (hanya
menyebut dua gergasi besar ini sebagai contoh) tidak memberi kesan
apa-apa kepada penggunanya. Ianya adalah rawak, dan terlalu rawak. Ip
yang diberikan tidak boleh dirujuk sebagai identiti penggunanya pada
masa itu. Ia hanya digunakan untuk mengelakkan 'clash' di antara
mesin-mesin lain yang berhubungan dalam internet, dan bukanlah satu
rujukan identiti yang tetap dan boleh dibuat rujukan. Adalah terlalu
sukar untuk mereka menyemak kepenggunaan ip pada sesuatu masa oleh
sesuatu akaun yang mana ip itu digunakan oleh beribu-ribu orang yang
berlainan (walaupun ia tidak mustahil untuk dilakukan). Untuk
memudahkannya lagi, jika sekali saya mendail ke TMnet, saya diberi ip
202.188.5.1 untuk masa itu, tetapi bila saya terputus dan kemudian saya
mendail sekali lagi, ip saya mungkin 202.188.20.3! Jadi, 202.188.5.1
bukan saya! Merujuk pada contoh email yang dihantar tadi juga,
202.188.5.1 juga bukan dari saya! Dan semua laman web yang menyimpan ip
202.188.5.1 juga adalah bukan saya! Kerana? Kerana saya sekarang ialah
202.188.20.3!
Diharap penjelasan ip secara ringkas tadi dapat membuka minda pembaca
untuk memahaminya. Tetapi masih lagi terdapat satu masalah dan kecuaian
besar. Kita telah faham bahawa ip yang diberikan kepada kita adalah
rawak. Dan kita yang melayari internet semalam bukanlah kita yang
melayari internet pada hari ini secara teknikalnya. Tetapi bagaimana
dengan email? Ingat, email anda dikenali dengan alamat seperti
abc@tm.net.my atau xyz@pc.jaring.my. Masihkah anda ingat sewaktu
mendaftarkan diri dengan perkhidmatan JARING atau TMnet? Anda diminta
menyerahkan salinan kad pengenalan dan butir-butir peribadi diri anda
kepada mereka untuk proses pendaftaran. Kemudian, anda diberikan nama
pengguna (username) seperti mahathir82, atau anwar76 dan macam2 lagi.
Nama pengguna ini juga digunakan sebagai alamat email anda seperti
mahathir82@tm.net.my atau anwar76@pc.jaring.my. Logiknya, anwar76
diketahui rekod peribadinya, dan ini memang benar! Jika anda menghantar
email menggunakan anwar76@pc.jaring.my, maka, walaupun ip anda
berubah-ubah, hakikatnya, nama pengguna adalah sama! Dan nama pengguna
anwar76 disimpan rekodnya di JARING (kerana anwar76@pc.jaring.my). Jika
terdapat masalah anda dengan undang-undang kerana email anda, anwar76
akan disemak di JARING dan rekodnya, fikirkan sendiri betapa lengkapnya
borang yang kita isi dahulu...
Jadi? Bagaimana hendak menggunakan kebaikan ip rawak ini semaksima
mungkin? EMAIL PERCUMA! Ingat, perkhidmatan-perkhidmatan email percuma
seperti HoTMaiL, MailExcite, YAHOO! Mail dan berpuluh-puluh lagi
perkhidmatan seperti itu tidak pernah cerewet dalam soalan mengenai data
peribadi sewaktu kita hendak mendaftarkan diri untuk menggunakannya.
Kita tak perlu telus dalam mengisi borang pendaftaran. Letak sahaja apa
yang patut, dan semestinya yang tidak mengenai diri kita secara lansung!
Berurusanlah mengenai Reformasi menggunakan email-email percuma itu.
Dengan ip rawak dan data palsu dalam pendaftaran email anda, siapa lagi
yang boleh mengesan anda? Hanya beberapa kecuaian sahaja yang bisa
menjatuhkan anda. Tetapi, secara teknikalnya, cukup untuk menyusahkan
pihak berkuasa mengesan siapa anda dan dimana.
Menggunakan komputer sendiri (pejabat) dengan akaun yang tidak
diketahui
Idea,
pandangan, pendapat dan luahan rasa tidak hanya ditimbulkan
dirumah sahaja. Ada waktunya kita perlu menjawab beberapa soalan,
memberikan idea-idea atau hujah-hujah bernas dari tempat yang ada
sekarang, pejabat. Dan pejabat yang ada kemudahan internet, tanpa
diketahui cara penyambungannya adalah merbahaya! Keadaan bilamana anda
tidak mengetahui cara penyambungan ialah :
Komputer anda telah diketahui umum boleh mengakses internet tanpa
perlu memasukkan nama pengguna dan katalaluan. Tiada sebarang modem
disambungkan pada komputer anda untuk mengakses internet.
Kebanyakan pusat-pusat pengajian tinggi dan syarikat-syarikat koperat
besar mempunyai akses ke internet sendiri tanpa menggunakan JARING atau
TMnet. Ada sesetengah syarikat yang besar terus disambungkan ke talian
internet dunia tanpa melalui MIMOS. Dalam keadaan begini, ip yang telah
kita bincangkan tadi memainkan peranan yang penting. Mereka mempunyai ip
statik yang tidak diubah-ubah. Setiap komputer yang mempunyai rangkaian
internet mempunyai ip sendiri. Ip ini merupakan identiti sebenar
penggunanya pada bila-bila masa! Oleh itu, walaupun pengguna jenis ini
menggunakan perkhidmatan email atau sebagainya, ipnya tetap sama berbeza
dengan pengguna-pengguna yang mendapat ip secara rawak tadi.
Untuk mengatasi masalah dikesan ip ini, satu cara yang kerap
digunakan ialah dengan menggunakan pelayan proxy. Bunyinya agak
teknikal, dan sememangnya memerlukan sedikit pemahaman dalam internet
untuk memahaminya. Saya tidak akan memperkatakan dengan lebih lanjut
mengenai proxy server ini dengan lebih teknikal. Tetapi, apa yang perlu
difahami ialah, terdapat komputer-komputer yang bersambung dengan
internet di seluruh dunia membenarkan komputer lain untuk 'meminjam dan
menggunakan ipnya' untuk mengakses internet. Jadi? Walau statik macam
manapun ip anda, jika anda sambungkan komputer anda dengan proxy server,
hasilnya, ip anda adalah ip proxy server dan bukan lagi ip statik anda!
Contoh mudah ialah, anda diberi ip 199.128.0.1 untuk mengakses internet.
Di mana sahaja anda pergi, 199.128.0.1 ini merupakan kad pengenalan pada
diri anda. Jika terdapat masalah, dunia dapat melihat dari mana ip ini
berasal dan seterusnya dapat menghubungi syarikat/institusi anda untuk
mengetahui lebih lanjut siapa yang menggunaka ip ini. Oleh kerana ia
tidak rawak, maka ia berkekalan walau bilapun anda mengakses internet.
Bila ip 199.128.0.1 dihubungkan dengan server proxy yang ipnya
203.121.9.10, maka hasilnya? Ip anda juga ialah 203.121.9.10 dan
bukannya 199.128.0.1! Jadi, selepas sambungan pada proxy ini dibuat,
walau dimana sahaja anda berada, anda bukanlah diri anda! Jadi dimana
untuk mendapatkan perkhidmatan ini dengan mudah? Satu tempat yang paling
senang dan mudah ialah di IProxy! Bila anda ke laman IProxy, daftarkan
diri anda di situ dan anda akan diberi kata laluan dan nama pengguna.
Setiap kali anda hendak menghantar email atau melawati laman web yang
agak kritikal, gunakan laman web IProxy untuk melaksanakan niat anda. Di
laman web IProxy, setelah didaftarkan, anda akan dibawa ke satu muka
permulaan. Bookmark muka ini untuk memudahkan anda. Masukkan nama dan
kata laluan serta laman web yang diinginkan. Contohnya, jika anda ingin
menghantar surat melalui HoTMaiL, letakkan www.hotmail.com pada ruangan
URL dan, WALLA! Anda bukan diri anda lagi! IProxy menyatakan bahawa
setiap pengguna pelayannya (server) tidak diketahui oleh orang lain,
walau IProxy sendiri! Dengan ini, anda selamat dalam menyatakan apa yang
terbuku di dalam hati tanpa perlu takut-takut lagi.
Apa yang perlu pengguna internet fahami ialah, internet adalah
demokrasi. Anda berhak menyatakan apa sahaja. Pihak berkuasa Malaysia
tidak berhak untuk menyekat kebebasan bersuara di internet walaupun
mereka boleh melakukan pada media tempatan. Mereka boleh menangkap anda
jika anda cuai. Apakah kecuaian yang kerap dilakukan oleh pengguna
internet? Menggunakan alamat email sendiri yang didaftarkan oleh JARING
atau TMnet.
Tidak memadam sebarang kegiatan (artikel yang ditaip, dicetak,
disimpan) yang dilakukan dalam komputer. Ingat, jika anda menaip
menggunakan Ms-Word atau sebagainya, JANGAN SAVE DAN SIMPAN! Jika
ditemui, ia merupakan bukti bahawa perbuatan itu perbuatan anda (.. dan,
ianya hanyalah satu jika). Padamkan kesemua maklumat yang pernah ditaip
untuk bahan artikel. Jika anda seorang webmaster, pastikan tidak ada
kesan folder web pada hard disk anda. Jangan simpan bahan-bahan untuk
web secara kekal. Memberi 'hint' yang cukup kuat dari mana datangnya
sumber. Jika anda berada ditempat kejadian, jangan nyatakan keadaan anda
atau sesiapa sahaja yang melihat anda! Selain itu, fikir-fikirkanlah
sendiri, bagaimana caranya untuk 'baling batu sembunyi tangan'. Sehingga
berjumpa lagi, InsyaAllah, saya harapkan pembaca sekalian faham dan
kurangkan fobia takut pada internet ini. Kebebasan bersuara dalam
internet adalah mutlak. Tidak perlu takut jika anda menyuarakan
pendapat. Kerana seperti dalam siri I, pendapat bukanlah satu berita
yang boleh dibuat rujukan. Pendapat yang bernas tidak akan mengancam
keselamatan negara dan menggugat kestabilan masyarakat. Pendapat yang
provokasi sahaja yang bisa merengkokkan kita ke dalam bilik kecil. Oleh
itu, gunakan minda untuk berkata, jangan biarkan lutut berbicara. |
Halaman Utama |Informasi Gayong | Artikel | Aktiviti | Maklumat Ahli | Album |