Make your own free website on Tripod.com

PETUA MENGGUNAKAN INTERNET

 

Pendahuluan

Dewasa ini ramai yang memilih internet sebagai sumber maklumat terpenting selepas media dalam negara sudah tidak mampu memberikan laporan yang adil dan saksama. Masyarakat semakin celik untuk melihat teknologi ini sebagai alternatif lain untuk mendapatkan bahan dari sumber asing. Sehinggakan suri rumah dan ibu bapa yang dahulunya hanya membiarkan anak-anak mereka sahaja 'berjalan-jalan' di alam saiber telah mula menukar arah, mereka sendiri sekarang dalam proses untuk memahirkan diri dengan perisian 'browser' seperti Netscape dan Internet Explorer. Tidak kurang juga yang semakin memahirkan diri dengan 'newsgroup' dan juga 'mailing list'.

 

Biar apapun yang dilakukan, usaha kerajaan untuk menakut-nakutkan pengguna internet semakin hari semakin bertambah. Berita mengenai penangkapan, 'hackers' kononnya, semakin banyak di dada dada akhbar. Tak kurang juga dengan siri 'penggeledahan cyber-cafe' yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Ini menjadikan masyarakat semakin takut untuk menggunakan internet sebagai sumber alternatif mendapatkan maklumat selain media dalaman. Mengapa ini terjadi? Kerana kurangnya pengetahuan kita mengenai kebebasan bersuara dalam internet itu sendiri.

 

Internet merupakan jaringan komputer antarabangsa. Tiada sesiapa yang memiliki hak mutlak ke atasnya. Samada kerajaan Malaysia, kerajaan Taiwan, kerajaan Jepun, malahan kerajaan Amerika juga tidak mempunyai hak yang mutlak ke atas internet. Kepenggunaan internet itu sendiri bergantung kepada prasyarat yang telah difahami dan dipersetujui bila kita melanggannya. Apa yang perlu diperjelaskan di sini ialah, kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat kebebasan bersuara di dalam internet.

 

Tetapi... bagaimana pula dengan kes-kes penangkapan berkaitan surat layang melalui internet? Ini perlu kita fahamkan. Cerita-cerita yang boleh menimbulkan keraguan dan sekaligus boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Kes Chow-Kit jika diperhatikan adalah satu dakyah dan fitnah yang boleh mengancam keselamatan negara kerana berikutan dari surat sebegitu, boleh menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum. Atas alasan ini, maka pihak polis terpaksa mengambil tindakan. Apakah polis mengambil tindakan secara bersendirian? Tidak, mereka terpaksa meminta pertolongan MIMOS untuk mengenalpasti siapa 'penciptanya'.

 

Jadi, kalau kita tidak terlibat dengan segala bentuk khabar angin atau berita-berita yang boleh mengancam keselamatan negara, mengapa kita perlu takut? Tiada satu aktapun dalam internet yang menyekat kebebasan bersuara selama mana ia tidak menimbulkan ketegangan pihak lain. Oleh itu, apakah dengan membaca artikel-artikel di internet dianggap sebagai salah oleh undang-udang? Tidak! Salah bilamana anda bersama-sama menyebarkan berita palsu yang boleh dianggap mengancam keselamatan negara.

 

Jadi, mengapa kita perlu takut? Takut kerana salah. Bila kita salah? Bila kita menyebarkan khabar angin yang berunsur fitnah dan boleh mengancam keselamatan negara. Itu sahaja. Apakah memberi pendapat itu salah? TIDAK! Pendapat bukanlah satu berita yang boleh diterima pakai sebagai rujukan. Fahami konsep ini, dan berlegarlah diruang saiber tanpa rasa takut....

 

Penggunaan No. IP

Saya banyak dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan mengenai keselamatan diri dalam menyuarakan pendapat umum. Masih ramai lagi yang 'fobia internet' dalam menyuarakan pandangan masing-masing. Sayang sekali, fobia ini mengengkang pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat serta suara-suara bernas sekalian rakyat yang masih bingung lagi mengenai Internet, dan kebebasan bersuara melaluinya. Masih ramai lagi dihantui dengan kes 'Tangkapan Chow Kit' yang melibatkan beberapa manusia yang lalai dalam menyuarakan rasa hati mereka.

 

Biar saya perjelaskan dengan ringkas, apa yang terjadi bila kita mula melewati laman web dan juga menghantar suara rasa melalui email atau lelaman web :

Menggunakan komputer dengan akaun TMnet atau JARING sendiri. Anda akan diberikan nombor pengenalan (ip) secara rawak. Apa gunanya nombor pengenalan ini? Ianya seperti alamat rumah (bukan alamat rumah yang sebenar!). Seluruh dunia, mesin-mesin yang dihubungkan dengan internet mendapat ip tersendiri dan unik. Tidak ada seorang manusia pun di dalam dunia ini yang akan mendapat ip yang sama dengan anda dalam dalam talian yang berasingan. Ip ini adalah rujukan kedudukan komputer kita. Ip ini digunakan untuk mengelakkan dari kecelaruan (clash) antara satu komputer dengan komputer yang lain.

 

Jika saya menggunakan TMnet, ip yang mungkin akan saya dapat secara rawak ialah 202.188.52.1 (contoh tidak menggunakan ip betul). Seluruh dunia mengetahui kedudukan mesin saya sekarang, tetapi, secara teknikal sahaja. Saya akan menghantar email kepada 'smtp server' (pelayan email, atau komputer besar yang menjaga kesemua email kita) untuk dirujuk kepada pengguna yang berdaftar pada email itu. Email yang dihantar, akan disimpan di dalam 'smtp server' dahulu. Bila pengguna menyemak email, barulah email itu dihantar kepada si penerima. Di sinilah ip digunakan.

 

Saya (202.188.52.1) menghantar email kepada abc@tm.net.my. Email itu akan disimpan oleh server TMnet (sebab email penerima dalam bentuk abc@tm.net.my). Dari segi teknikalnya, saya mengarah email saya kepada server email TMnet (yang juga mempunyai ip sendiri, contohnya 202.188.52.2). Jadi, email dari 202.188.52.1 dihantar kepada 202.188.52.2 di mana dalam 202.188.52.2 terdapat akaun abc@tm.net.my. Server 202.188.52.2 akan menyimpan alamat saya (202.188.52.1) sebagai rujukan penerima dari mana saya menghantar email itu. Bila penerima ingin menyemak surat, maka 202.188.52.2 akan menghantar surat yang disimpan tadi kepada penerima.

 

Apakah ip hanya digunakan dalam email sahaja? TIDAK! Ia digunakan untuk kesemua sessi internet kita. Jika anda melawat laman web, ip anda akan disimpan, jika anda berbual IRC, ip anda juga dipaparkan, jika anda menggunakan HOTMAIL juga, ip anda akan dihantar kepada penerima. Jadi bagaimana untuk mengelak dari ip kita dikesan?

 

Biar saya jelaskan sedikit di sini, IP TMnet dan Jaring (hanya menyebut dua gergasi besar ini sebagai contoh) tidak memberi kesan apa-apa kepada penggunanya. Ianya adalah rawak, dan terlalu rawak. Ip yang diberikan tidak boleh dirujuk sebagai identiti penggunanya pada masa itu. Ia hanya digunakan untuk mengelakkan 'clash' di antara mesin-mesin lain yang berhubungan dalam internet, dan bukanlah satu rujukan identiti yang tetap dan boleh dibuat rujukan. Adalah terlalu sukar untuk mereka menyemak kepenggunaan ip pada sesuatu masa oleh sesuatu akaun yang mana ip itu digunakan oleh beribu-ribu orang yang berlainan (walaupun ia tidak mustahil untuk dilakukan). Untuk memudahkannya lagi, jika sekali saya mendail ke TMnet, saya diberi ip 202.188.5.1 untuk masa itu, tetapi bila saya terputus dan kemudian saya mendail sekali lagi, ip saya mungkin 202.188.20.3! Jadi, 202.188.5.1 bukan saya! Merujuk pada contoh email yang dihantar tadi juga, 202.188.5.1 juga bukan dari saya! Dan semua laman web yang menyimpan ip 202.188.5.1 juga adalah bukan saya! Kerana? Kerana saya sekarang ialah 202.188.20.3!

 

Diharap penjelasan ip secara ringkas tadi dapat membuka minda pembaca untuk memahaminya. Tetapi masih lagi terdapat satu masalah dan kecuaian besar. Kita telah faham bahawa ip yang diberikan kepada kita adalah rawak. Dan kita yang melayari internet semalam bukanlah kita yang melayari internet pada hari ini secara teknikalnya. Tetapi bagaimana dengan email? Ingat, email anda dikenali dengan alamat seperti abc@tm.net.my atau xyz@pc.jaring.my. Masihkah anda ingat sewaktu mendaftarkan diri dengan perkhidmatan JARING atau TMnet? Anda diminta menyerahkan salinan kad pengenalan dan butir-butir peribadi diri anda kepada mereka untuk proses pendaftaran. Kemudian, anda diberikan nama pengguna (username) seperti mahathir82, atau anwar76 dan macam2 lagi. Nama pengguna ini juga digunakan sebagai alamat email anda seperti mahathir82@tm.net.my atau anwar76@pc.jaring.my. Logiknya, anwar76 diketahui rekod peribadinya, dan ini memang benar! Jika anda menghantar email menggunakan anwar76@pc.jaring.my, maka, walaupun ip anda berubah-ubah, hakikatnya, nama pengguna adalah sama! Dan nama pengguna anwar76 disimpan rekodnya di JARING (kerana anwar76@pc.jaring.my). Jika terdapat masalah anda dengan undang-undang kerana email anda, anwar76 akan disemak di JARING dan rekodnya, fikirkan sendiri betapa lengkapnya borang yang kita isi dahulu...

 

Jadi? Bagaimana hendak menggunakan kebaikan ip rawak ini semaksima mungkin? EMAIL PERCUMA! Ingat, perkhidmatan-perkhidmatan email percuma seperti HoTMaiL, MailExcite, YAHOO! Mail dan berpuluh-puluh lagi perkhidmatan seperti itu tidak pernah cerewet dalam soalan mengenai data peribadi sewaktu kita hendak mendaftarkan diri untuk menggunakannya. Kita tak perlu telus dalam mengisi borang pendaftaran. Letak sahaja apa yang patut, dan semestinya yang tidak mengenai diri kita secara lansung! Berurusanlah mengenai Reformasi menggunakan email-email percuma itu. Dengan ip rawak dan data palsu dalam pendaftaran email anda, siapa lagi yang boleh mengesan anda? Hanya beberapa kecuaian sahaja yang bisa menjatuhkan anda. Tetapi, secara teknikalnya, cukup untuk menyusahkan pihak berkuasa mengesan siapa anda dan dimana.

 

Menggunakan komputer sendiri (pejabat) dengan akaun yang tidak diketahui

Idea, pandangan, pendapat dan luahan rasa tidak hanya ditimbulkan dirumah sahaja. Ada waktunya kita perlu menjawab beberapa soalan, memberikan idea-idea atau hujah-hujah bernas dari tempat yang ada sekarang, pejabat. Dan pejabat yang ada kemudahan internet, tanpa diketahui cara penyambungannya adalah merbahaya! Keadaan bilamana anda tidak mengetahui cara penyambungan ialah :

Komputer anda telah diketahui umum boleh mengakses internet tanpa perlu memasukkan nama pengguna dan katalaluan. Tiada sebarang modem disambungkan pada komputer anda untuk mengakses internet.

 

Kebanyakan pusat-pusat pengajian tinggi dan syarikat-syarikat koperat besar mempunyai akses ke internet sendiri tanpa menggunakan JARING atau TMnet. Ada sesetengah syarikat yang besar terus disambungkan ke talian internet dunia tanpa melalui MIMOS. Dalam keadaan begini, ip yang telah kita bincangkan tadi memainkan peranan yang penting. Mereka mempunyai ip statik yang tidak diubah-ubah. Setiap komputer yang mempunyai rangkaian internet mempunyai ip sendiri. Ip ini merupakan identiti sebenar penggunanya pada bila-bila masa! Oleh itu, walaupun pengguna jenis ini menggunakan perkhidmatan email atau sebagainya, ipnya tetap sama berbeza dengan pengguna-pengguna yang mendapat ip secara rawak tadi.

 

Untuk mengatasi masalah dikesan ip ini, satu cara yang kerap digunakan ialah dengan menggunakan pelayan proxy. Bunyinya agak teknikal, dan sememangnya memerlukan sedikit pemahaman dalam internet untuk memahaminya. Saya tidak akan memperkatakan dengan lebih lanjut mengenai proxy server ini dengan lebih teknikal. Tetapi, apa yang perlu difahami ialah, terdapat komputer-komputer yang bersambung dengan internet di seluruh dunia membenarkan komputer lain untuk 'meminjam dan menggunakan ipnya' untuk mengakses internet. Jadi? Walau statik macam manapun ip anda, jika anda sambungkan komputer anda dengan proxy server, hasilnya, ip anda adalah ip proxy server dan bukan lagi ip statik anda! Contoh mudah ialah, anda diberi ip 199.128.0.1 untuk mengakses internet. Di mana sahaja anda pergi, 199.128.0.1 ini merupakan kad pengenalan pada diri anda. Jika terdapat masalah, dunia dapat melihat dari mana ip ini berasal dan seterusnya dapat menghubungi syarikat/institusi anda untuk mengetahui lebih lanjut siapa yang menggunaka ip ini. Oleh kerana ia tidak rawak, maka ia berkekalan walau bilapun anda mengakses internet. 

 

Bila ip 199.128.0.1 dihubungkan dengan server proxy yang ipnya 203.121.9.10, maka hasilnya? Ip anda juga ialah 203.121.9.10 dan bukannya 199.128.0.1! Jadi, selepas sambungan pada proxy ini dibuat, walau dimana sahaja anda berada, anda bukanlah diri anda! Jadi dimana untuk mendapatkan perkhidmatan ini dengan mudah? Satu tempat yang paling senang dan mudah ialah di IProxy! Bila anda ke laman IProxy, daftarkan diri anda di situ dan anda akan diberi kata laluan dan nama pengguna. Setiap kali anda hendak menghantar email atau melawati laman web yang agak kritikal, gunakan laman web IProxy untuk melaksanakan niat anda. Di laman web IProxy, setelah didaftarkan, anda akan dibawa ke satu muka permulaan. Bookmark muka ini untuk memudahkan anda. Masukkan nama dan kata laluan serta laman web yang diinginkan. Contohnya, jika anda ingin menghantar surat melalui HoTMaiL, letakkan www.hotmail.com pada ruangan URL dan, WALLA! Anda bukan diri anda lagi! IProxy menyatakan bahawa setiap pengguna pelayannya (server) tidak diketahui oleh orang lain, walau IProxy sendiri! Dengan ini, anda selamat dalam menyatakan apa yang terbuku di dalam hati tanpa perlu takut-takut lagi.

 

Apa yang perlu pengguna internet fahami ialah, internet adalah demokrasi. Anda berhak menyatakan apa sahaja. Pihak berkuasa Malaysia tidak berhak untuk menyekat kebebasan bersuara di internet walaupun mereka boleh melakukan pada media tempatan. Mereka boleh menangkap anda jika anda cuai. Apakah kecuaian yang kerap dilakukan oleh pengguna internet? Menggunakan alamat email sendiri yang didaftarkan oleh JARING atau TMnet.

 

Tidak memadam sebarang kegiatan (artikel yang ditaip, dicetak, disimpan) yang dilakukan dalam komputer. Ingat, jika anda menaip menggunakan Ms-Word atau sebagainya, JANGAN SAVE DAN SIMPAN! Jika ditemui, ia merupakan bukti bahawa perbuatan itu perbuatan anda (.. dan, ianya hanyalah satu jika). Padamkan kesemua maklumat yang pernah ditaip untuk bahan artikel. Jika anda seorang webmaster, pastikan tidak ada kesan folder web pada hard disk anda. Jangan simpan bahan-bahan untuk web secara kekal. Memberi 'hint' yang cukup kuat dari mana datangnya sumber. Jika anda berada ditempat kejadian, jangan nyatakan keadaan anda atau sesiapa sahaja yang melihat anda! Selain itu, fikir-fikirkanlah sendiri, bagaimana caranya untuk 'baling batu sembunyi tangan'. Sehingga berjumpa lagi, InsyaAllah, saya harapkan pembaca sekalian faham dan kurangkan fobia takut pada internet ini. Kebebasan bersuara dalam internet adalah mutlak. Tidak perlu takut jika anda menyuarakan pendapat. Kerana seperti dalam siri I, pendapat bukanlah satu berita yang boleh dibuat rujukan. Pendapat yang bernas tidak akan mengancam keselamatan negara dan menggugat kestabilan masyarakat. Pendapat yang provokasi sahaja yang bisa merengkokkan kita ke dalam bilik kecil. Oleh itu, gunakan minda untuk berkata, jangan biarkan lutut berbicara.

 

Halaman Utama |Informasi Gayong  | Artikel | Aktiviti | Maklumat Ahli | Album