Make your own free website on Tripod.com

AL-QURAN SEBAGAI PENYEMBUH

Artikel sempena Bulan Al-Quran menjelang MTQ2000 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Sabah.

Oleh : Azhari(s)

 

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Salam sejahtera!

 

MUKADDIMAH:
Firman Allah SWT : Yang bermaksud: "Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)

Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, yang berkuasa menyakitkan atau menurunkan penyakit sebagai ujian terhadap tahap keimanan manusia ataupun sebagai ’Bala’ balasan kepada mereka yang melanggar batas-batas ketentuanNya. Maha Adil Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani sekelian makhluk ciptaannya, yang menyediakan ubat dan penawar terhadap segala penyakit yang menimpa makhluk ciptaanNya itu. Maha Penyayang Allah yang bukan sahaja menyediakan penawar dan ubat kepada segala jenis penyakit, bahkan memberikan pertunjuk yang jelas jalan mana yang harus dilalui sekelian makhluk demi menjamin kesejahteraan dan kebahgiaan mereka, disamping pertunjuk yang jelas jalan mana yang wajib ditinggalkan demi mengelak, menghindar, mencegah dan menjauhkan mereka dari terjerumus ke arah kebinasaan.

Bahkan kasih sayang Allah itu melebihi kasih sayang makhluk terhadap sesama makhluk, bahkan melampaui kecintaan dan kasih sayang makhluk kepadaNya. Ini terbukti dengan pengutusan para Rasul dan Nabi yang ditugaskan untuk membimbing manusia supaya hanya berjalan di atas jalan yang lurus. Kasih sayang Allah itu terbukti bila Allah menyuruh para Rasul untuk menyampaikan berita "khabar gembira"(berupa pahala, kebaikan, kebajikan dan balasan syurga) kepada mereka yang mengikut jalan yang lurus, serta berita "peringatan, amaran dan ancaman"(berupa dosa, keburukan, kesengsaraan dan seksaan azab api neraka) kepada mereka yang terpesong atau tergelincir dari jalan yang lurus.

Balasan baik yang dijanjikan kepada mereka yang (bersyukur) mengikut pertunjuk Allah SWT bukan sahaja bakal dinikmati di syurga setelah kiamat berlaku dan selesainya hisab nanti, bahkan nikmat-nikmat tersebut dapat dikecapi oleh mereka ini semasa mereka hidup di dunia ini dengan limpahan rezkei halal yang mewah, anak-pinak yang ‘soleh’ sejuk mata memandang dan berbagai-bagai nikmat lagi. Demikian juga (sebaliknya) dengan balasan yang dijanjikan kepada mereka yang (ingkar) enggan mengikut pertunjuk Allah SWT. Semua ini membuktikan bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang seterusnya bersifat dengan setinggi-tinggi sifat keagongan dan kemuliaan. Ini juga membuktikan bahawa Allah SWT itu Maha Adil, sekali-kali tidak menzalimi sekelian ‘alam’, melainkan makhlukNya itu sendirilah yang menginaya atau menzalimi diri mereka sendiri.

DEFINISI PENYAKIT
Penyakit adalah suatu yang mendatangkan ‘masalah’ pada jasmani, rohani dan mental.. Masalah yang dimaksudkan berkait-rapat dengan perasaan, naluri dan keseimbangan antara jasmani, rohani dan mental. Jasad yang berpanyakit samada bahagian luaran mahupun bahagian dalaman berkait-rapat dengan permakanan. Manakala rohani yang sakit ada kaitan dengan masalah pengisian jiwa dengan maklumat, ilmu dan perkara-perkara yang berhubung dengan kesihatan hati atau "qalb". Sedangkan mental yang berpenyakit berpunca dari tekanan perasaan yang tinggi samada dari pengaruh luaran mahupun pengaruh yang bersifat dalaman.

AL-QURAN DAN PENGUBATAN
Secara kasar Al-Quran memberi panduan asas yang berguna dalam menghadapi dan mengubati berbagai jenis penyakit. Al-Quran lebih mementingkan pencegahan datangnya penyakit berbanding dengan cara merawat dan menyembuhkan penyakit. Penekanan terhadap pencegahan ini ada kaitan dengan pelaksanaan perkara-perkara yang wajib, samada yang terkandung dalam "Rukun Islam" yang lima itu mahupun yang terdapat dalam "Rukun Iman" yang enam itu. Disamping itu ketentuan hukum yang digariskan oleh ajaran atau hukum Islam yang "sembilan" iaitu, halal, haram, wajib, sunat, makruh, mubah, harus, demikian juga hukum sah dan batal kepada syariat Islam itu sendiri, adalah sebagai "guideline" yang dijadikan perisai dan pencegahan dari timbulnya berbagai penyakit.

Maknanya, sejauh mana manusia itu dapat melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, maka sejauh itu pula seseorang itu akan terhindar dari sebarang penyakit, tak kira penyakit jasmani, rohani mahupun mental (jiwa). Melaksanakan perintah Allah SWT dengan mengikut segala rukun dan syaratnya bukan sahaja bakal diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT dan akan dimasukkan ke dalam syurga di akhirat nanti, bahkan mereka yang melaksanakannya dengan ikhlas akan dipelihara oleh Allah SWT dari sebarang penyakit, khasnya penyakit yang dianggap kronik, sebagai rahmat dari Allah SWT terhadap mereka yang taat kepada perintahNya.

Sebagai contoh dalam melaksanakan suruhan Allah SWT: Seperit ibadat "Solah". Orang-orang yang beriman yang mendirikan solah dipelihara oleh Allah dari perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT:Yang bermaksud: "Bahawa senya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar".

Orang yang solahnya gagal memelihara dirinya dari terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar perlu menyemak solahnya dari segala sudut untuk mempastikan solahnya boleh diterima di sisi Allah SWT seterusnya solahnya itu dapat menyelamatkan dirinya dari perbuatan keji dan mungkar yang mengundang berbagai penyakit.

Sebagai contoh dalam menjauhkan diri dari larangan Allah SWT: Seperti perbuatan "Zina".
Firman Allah SWT: Maksudnya: "Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya".

Oleh kerana penyakit yang bakal diidap dan dideritai oleh mereka yang berzina itu tersangat pedih, pedih jasmani, rohani dan mentalnya, maka pencegahan yang dianjurkan Al-Quran bermula dari larangan mendekatinya. Mendekati zina disini bolehlah dianggap bermula dari main kenyit-kenyit mata atau menggunakan isyarat-isyarat yang dikategorikan sebagai perbuatan cuba"mengorat". Kalau larangan ini dapat dipatuhi sudah tentu penyakit yang digelar mukaddimah zina ia itu penyakit "angau" yang disebut juga sebagai "gejala sosial" akan dapat dielakkan. Kalau dikira, penyakit angau sahaja sudah menyebabkan pengidapnya tak lalu makan dan tak lena tidur yang boleh mengundang berbagai penyakit, apatah lagi jika terlanjur lebih jauh dari itu. Kita sering mendengar kisah mereka yang mengidap penyakit angau ini boleh menyebabkannya sekurang-kurangnya kurus kering kerana makan hati berulam jantung dan yang paling hebat sampai membunuh diri. Perkara membunuh diri akibat serangan penyakit angau ini membuktikan bahawa pesakit mengidap sakit mental yang serius.

Contoh larangan yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan kesihatan hati atau "qalb": Antara yang disenaraikan sebagai penyakit hati yang paling popular ialah: Hasad, riak, ujub dan takabbur. Sebagai (satu) contoh sila teliti maksud firman Allah dalam surah Al-Maa’uun.

Sifat-sifat (penyakit hati) ini bukan sahaja akan menyebabkan pahala yang bakal diperolehi boleh hangus dan batal kerana hatinya berpenyakit (penyakit rohani) bahkan mereka yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut mengalami berbagai penyakit lain yang ada kaitan dengan jasmani dan mental apatah lagi rohani.

Apa yang dikatakan sebentar (di atas) tadi, jelas menunjukkan bahawa Al-Quran mengutamakan agenda "cegah sebelum terjadi/berlaku". Dengan penjelasan serba sedikit risiko yang bakal ditanggung oleh mereka yang engkar perintah Allah SWT itu, bagaimana sakit yang harus dirasai di dunia ini, dan di akhirat maka lebih-lebihlah lagi dengan azab yang pedih, jelas membuktikan peranan Al-Quran dalam menangani segala penyakit adalah merupakan agenda menyelamatkan umat manusia itu sendiri dari kebinasaan. Kenyataan ini juga sekaligus menyanggah pendapat "cegah sebelum parah" yang terbukti memberikan kelonggaran kepada pelaku untuk bukan sahaja mendekati zina bahkan mencuba zina itu sendiri, dengan mengesyorkan penggunaan kondom dan sebagainya.

AL-QURAN SEBAGAI PENYEMBUH

Terdapat banyak hadis Nabi yang menyebutkan akan kelebihan ayat-ayat atau surah-surah tertentu yang kalau dibaca, diamal atau ditiupkan sebagai "Jampi" kepada mereka yang mengidap penyakit tertentu akan dapat menyembuhkannya dengan izin Allah SWT. Islam juga mengajarkan bahawa segala jenis ubat yang diambil untuk satu-satu penyakit hanyalah berfungsi sebagai bahan rawatan yang diklasifikasikan sebagai usaha ke arah meringankan beban derita pesakit, pendek kata bukan sebagai penyembuh. Umat Islam ditanamkan keyakinan bahawa yang menyembuhkan itu hanya Allah SWT semata-mata, manakala yang lain dari aneka jenis dan jenama ubat-ubatan hanyalah usaha merawat untuk meringankan penderitaan yang ditanggung pesakit yang juga tidak akan membawa apa-apa kesan melainkan dengan izin Allah SWT.

Keterangan lanjut mengenai kaedah dan cara pengobatan cara Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis boleh didapati dari kitab yang berjudul "Tibbun Nabawi" oleh : Dr. Ali Mu’nis atau yang telah dialih bahasa oleh : M. Thoha Anwar dengan judul : "Pengubatan Cara Nabi".

PENUTUP
Sesungguhnyalah Al-Quran itu mukjizat yang paling unggul, bahkan keunggulannya bukan sahaja sebagai pedoman, panduan dan ikutan sekaligus ia tetap releven untuk setiap zaman dan segenap tempat. Keunggulannya juga diiktiraf oleh seluruh masyarakat dunia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Walau bagaimanapun ini semua hanya dapat dinikmati oleh mereka yang bergelar mukmin. Seperti apa yang dimaksudkan dari firman Allah SWT surah Al-Israa ayat 82, yang dicatatkan di awal-awal tulisan ini. Maknanya Al-Quran itu hanya akan berfungsi sebagai penyembuh kepada sebarang penyakit yang diidap oleh orang-orang yang beriman (mukmin) sebagai rahmat (belas kasihan/kasih sayang) Allah SWT kepada mereka kerana ketaatan mereka terhadap segala perintah Allah SWT. Ini juga membawa maksud, bahawa manusia yang berada di bawah taraf mukmin tidak layak menikmatinya. Pendek kata semakin tinggi tahap kemukminan seseorang itu maka semakin tinggilah pula fungsi Al-Quran sebagai penyembuh itu kepada dirinya diikuti dengan semakin tingginya rahmat Allah SWT yang akan diterimanya. Mereka yang hanya setakat bergelar muslim semata-mata dikira tidak layak menerimanya, apatah lagi yang lebih rendah dari itu.

Jadi kalau diri kita yang mengaku sebagai umat Rasulullah SAW ini merasa tidak dapat menikmati fungsi Al-Quran sebagai penyembuh terhadap penyakit-penyakit yang kita hidap kini, maknanya tahap keimanan atau kepercayaan kita masih belum sampai ketahap mereka yang bergelar mukmin. Oleh itu usaha ke arah mencapai martabat atau ‘maqam’ yang lebih tinggi seperti mukminin, solehin, syakirin dan muttaqin mestilah sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Wallahu a’alaam!


AZHARI(S)
28 JULAI 2000

Halaman Utama |Informasi Gayong  | Artikel | Aktiviti | Maklumat Ahli | Album